Sunday, October 23, 2011

Melangkah ke Kelab Elit Jutawan Trilliana

Assalamu 'Alaikum


From: zaziz@hotmail.com
To: mcoba-mail@googlegroups.com
Subject: RE: [MCOBA:88150] Group warns of RM1 trillion debt by 2020
Date: Thu, 20 Oct 2011 15:41:53 +0000



Hutang semasa negara ialah RM437 billion pada 30 Jun 2011 di mana RM16 billion adalah hutang luar negara. Ini mewakili 51% daripada KDNK. Untuk perspektif bandingan potensi masalah hutang negara,  hutang negara Greece adalah 110% daripada KDNK, sementara negara-negara "PIG" - Portugal, Ireland dan Sepanyol menghampiri 70% daripada KDNK. Oleh itu, kita tidak jauh dari segi masalah yang sama pada masa akan datang. Jika tidak dibendung warisan hutang ini akan diserahkan kepada anak-anak dan cucu kita untuk ditanggung. Hutang luar negara kita masih agak kecil, jadi jika kita mendengar pemimpin-pemimpin kita memuji-muji pengeluaran Penerbitan Sukuk Sovereign baru, iaitu meminjam dari luar Negara, janganlah menggalakkan mereka. Ditakuti kita ikut ke jalan Negara Pakistan yang terpaksa meminjam  wang asing untuk membayar gaji kakitangan Kerajaan.


         Anggaran hutang RM1 trillion menjelang 2020 ini adalah berdasarkan kepada pertumbuhan hutang RM50 billion setahun di mana RM1000 billion bersamaan RM1trillion.Sama ada kita mempunyai RM1 trillion dalam bentuk wang bukanlah satu isu kerana kerajaan cipta hutang semata-mata dengan mengeluarkan bil dan bon kepada pasaran. Sebagai contoh bajet dengan RM50 billion defisit akan dibiayai oleh Kerajaan dengan mengeluarkan bil-bil Perbendaharaan dan bon bernilai RM50 billion. Oleh itu, hutang negara sebanyak RM1 trillion boleh diwujudkan.

         Kebanyakkan anggapan yang tidak disuarakan  ialah Negara tidak mungkin boleh cipta wang lebih dari stok mas Negara itu sendiri. Kaitan wang dengan mas telah lama ditinggalkan oleh banyak negara bertahun-tahun yang lalu. Hari ini, jumlah wang yang dicetak oleh Kerajaan tiada kaitan dengan stok mas Negara. Selain daripada wang kertas dan duit syiling, wang sebuah negara diwujudkan sama ada melalui hutang Kerajaan, yang pakar ekonomi merujuk sebagai pengewangan defisit bajet; atau perbankan rizab pecahan.Perbankan rizab pecahan merujuk kepada ciptaan wang berganda bersandar kepada sejumlah duit yang dideposit dalam sebuah bank. Andaikan saya depositkan RM1000 dalam Bank Muamalat. Bank Muamalat tolak rizab berkanun sebanyak 10% dan meminjam RM900 kepada Sulaiman. Sulaiman kemudian meletakkan RM900 dengan Bank Islam. Bank Islam menolak 10% dan memberi pembiayaan  RM810 kepada Mohd Shah. Mohd Shah deposit RM810 dengan Maybank. Maybank tolak 10% dan meminjamkan RM729 kepada Idris. Sekarang mari kita kira berapa banyak wang yang semua orang percayai mereka milikki dan diberi buku cek untuk membuktikan pemilikkan tersebut.


Saya = RM1,000 + Sulaiman RM900 + Mohd Shah RM810 + Idris RM729. Bank-bank telah mencipta RM3,439 wang atau  kuasa pembelian dari RM1000 asal yang saya depositkan di Bank Muamalat tadi. Ini adalah perbankan rizab pecahan; penciptaan wang secara silap mata. Ini adalah sebab mengapa sebuah kereta baru berharga RM14,000 dalam tahun 1980-an kini berharga RM40, 000 dan sebuah rumah baru yang dahulunya berharga RM60,000 sekarang meningkat kepada RM300,000.

Kini, anak-anak  dan cucu kita bukan sahaja perlu menanggung warisan hutang RM1 trillion negara tetapi juga akan menghadapi inflasi cukup besar apabila mereka mula bekerja pada tahun 2020. Gaji 'siswazah baru hanya berganjak dari RM1,500 pada tahun 1980-an kepada RM2,500 hari ini. Dalam tempoh yang sama harga kereta telah meningkat daripada RM14,000 hingga ke angka RM40,000. Harga rumah pula meningkat dari RM60,000 hingga ke paras RM300,000 sekarang. Saya meramalkan pada tahun 2020 gaji graduan baru adalah diparas RM5,000 tetapi harga  sebuah kereta baru semasa itu ialah RM100,000 dan harga rumah pula mencapai keparas RM1juta.

Adakah ini masalah kita, atau masalah generasi akan datang untuk diselesaikan? Sebagai bapa dan datuk yang bertanggungjawab kita perlu memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah ini sekarang juga, tanpa mewariskan beban tersebut kepada generasi masa hadapan.
Zahid
Kelas 1972 Rumah Sulaiman

No comments:

Post a Comment